Lambakan PATI: Petualang sebenar adalah rakyat kita sendiri

Masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini tidak akan selesai selagi individu ‘halimunan’ masih bergerak bebas di luar sana.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mendakwa, individu yang dimaksudkan adalah rakyat Malaysia sendiri yang menjadi pelindung, pemberi makan, penyewa rumah malah sesiapa sahaja terlibat dalam mengatur pergerakan keluar masuk PATI ke negara ini.

Dakwanya, mereka inilah yang sepatutnya diburu sehingga ke lubang cacing oleh pihak berkuasa dan masyarakat sendiri, kerana menjadi pembelot dengan menjual kedaulatan negara kerana tamakkan wang ringgit.

“Kita lupa pengkhianat sebenarnya yang cuba kita lindungi sepanjang masa iaitu rakyat kita sendiri, rakyat kita yang memberikan mereka pelindungan, menyewakan kedai, menyewakan rumah, menyewakan kenderaan dan bukan sekadar itu sahaja.

“Menyebabkan mereka (PATI) masuk dan sembunyikan diri, jadi inilah pengkhianat sebenarnya. Dari mana tekong dapat bantuan apabila sampai ke pesisir pantai, dari mana mereka dapat waktu-waktu pihak berkuasa akan meronda, siapa yang beritahu semua ini kalau bukan kalangan rakyat kita sendiri.

“Siapa yang bawa masuk menerusi ladang tebu di Utara tanah air, tak mungkin sindiket negara jiran boleh memindahkan PATI tanpa bantuan orang tempatan. Ini yang patut kita buru, ini yang patut kita ketengahkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Kamal Affandi berkata, sudah tiba masanya masyarakat membuka minda dengan tidak melihat masalah kemasukan PATI dengan kelemahan pihak berkuasa semata-mata walaupun perkara tersebut berlaku.

Katanya, tindakan seperti itu hanya akan menutup masalah sebenar iaitu pembelot adalah rakyat Malaysia sendiri.

“Kita kata pihak berkuasa tak laksana kerja mereka, katakan mereka dapat buat tangkapan dan dihantar ke penjara. Perbelanjaan harian bagi seorang PATI adalah dalam lingkungan RM38 hingga RM40 sehari, kalaulah 100,000 ditahan ini bermakna kita belanja RM3.8 juta sehari.

“Bila pihak berkuasa buat tangkapan, suara-suara sumbang mengeji kenapa tangkap dan sebagainya. Tapi bila tak ditangkap dia akan kata pihak berkuasa makan suap dan sebagainya. Tapi tiada yang menyentuh selama mereka di Malaysia, di mana mereka tinggal takkan di kayangan, pasti ada yang melindungi,” katanya.

Terdahulu, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan telah menyerbu banyak kawasan yang menjadi lokasi pelindungan PATI di negara ini.

Terbaharu, seramai 113 PATI ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas menyerbu penempatan warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru.

Hari ini, kawasan sepanjang pantai Ulu Sedili hingga Sungai Johor dikesan sebagai titik panas pendaratan PATI di Johor.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami berkata, dianggarkan 60 hingga 70 peratus kawasan berkenaan dilihat berpotensi sebagai kawasan pendaratan.