Dua kali tersungkur, Mukhriz salahkan Najib punca sebenar kejatuhannya

Datuk Mukhriz Mahathir menggambarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pembawa watak protagonis sebenar dalam usaha menggulingkan beliau dari jawatan Menteri Besar Kedah pada 2016 dan sekarang ini.
Beliau mendakwa, tindakan Najib itu tidak lain tidak bukan bertujuan melepaskan dirinya dari tuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.
Anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut mengaitkan apa yang berlaku sekarang dengan krisis politik pada 2016 di mana beliau juga terpaksa meletakkan jawatan Menteri Besar di negeri jelapang padi itu.
“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datangnya dari Presiden Bersatu melalui Dato Seri Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu – iaitu Dato Sri Najib Razak.
“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk melepaskan dirinya dari tuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal-skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia,” dakwanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri besar selepas hilang kepercayaan di Dewan Undangan Negeri Kedah.
Menurut Mukhriz, pada 2016 beliau telah dipaksa berundur oleh Najib kerana tidak berpuas hati dengan kritikannya terhadap kes penyelewengan dan rasuah berkaitan 1MDB dan sebagainya,
“Maka saya telah dipaksa undur apabila ADUN-ADUN BN diarah menarik sokongan daripada saya. Ketika itu, hanya saya seorang yang digulingkan, manakala BN terus kekal sebagai kerajaan.
“Kali ini pula, bukan hanya saya sahaja, tapi seluruh Kerajaan PH Kedah dijatuhkan. Yang menerima tamparan sebenar ialah rakyat Kedah yang telah memilih PH untuk mengganti BN pada PRU-14 tahun 2018 dulu.
“Kini, yang menang menjadi pembangkang, dan yang kalah jadi Kerajaan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Kerajaan Pintu Belakang atau Tebuk Atap,” katanya.
Untuk menguatkan dakwaannya itu, Mukhriz merujuk kes anak tiri Najib iaitu Riza Aziz yang dilepas tanpa dibebas oleh Mahkamah Sesyen KL Jumaat lalu yang disifatkan sebagai petanda bahawa kes-kes jenayah yang dihadapi Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan.
“Lihat saja apa sudah jadi kepada kes pengubahan wang haram yang melibatkan anak Rosmah Mansor, iaitu Riza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu.
“Mungkin pelepasan itu merupakan satu petanda kepada kes-kes jenayah yang dihadapi oleh Najib, Rosmah, Dato’ Sri Zahid Hamidi dan pihak-pihak tertuduh lain dari UMNO. Kita tunggu dan lihat.
“Hanya dengan satu kes di mana anak Rosmah dilepaskan, satu dunia sudah tahu apabila media melaporkan secara meluas. Malaysia kembali terkenal seantero dunia, angkara pihak yang PH tumbangkan dalam PRU14 dulu.
“Kini mereka kembali berkuasa apabila Muhyiddin buka pintu seluas-luasnya kerana mempertahankan kerusi empuk jawatan Perdana Menteri itu. Itulah nasib negara kita sekarang,” katanya.